‘Ketuk pintu jam 3.00 pagi kerana khalwat, bertentangan dengan Islam !

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Selepas mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kumpulan bekas penjawat awam, G25 pula mahu penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.


Antara yang dicadang untuk dimansuhkan ialah hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam Perlembagaan.

Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin berkata, dengan berpandukan pada prinsip Perlembagaan, kumpulan tersebutmenentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian kerana itu adalah hak dan privasi setiap individu.

Menurutnya, perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah kecuali jika dilakukan di kawasan awam, namun Malaysia adalah satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu.

“Ini bertentangan dengan Islam. Apa orang buat di dalam rumah sendiri, anda tidak boleh ketuk pintu pada pukul 3 pagi dan menahan mereka, ini bertentangan dengan prinsip perundangan Islam, dosa peribadi adalah antara diri sendiri dengan Allah.

“Anda boleh masuk neraka atau tidak, atau apa sahaja tetapi bukan urusan undang-undang menghukum anda ke dalam penjara kerana melakukannya secara privasi di rumah, bukan taman awam,” tegasnya dalam sidang akhbar selepas Forum Islam Dalam Demokrasi Berparlimen di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat G25, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Forum, Datuk M. Redzuan Kushairi.

Noor Farida berkata, pelaksanaan undang-undang syariah menjadi masalah apabila ia melanggar Perlembagaan sehingga menjadikan dosa peribadi seseorang sebagai satu kesalahan jenayah.

“Bidang kuasa jawatankuasa perunding ini adalah untuk melihat jika sesungguhnya undang-undang itu melanggar Perlembagaan, mereka akan mencadangkan ia dimansuhkan atau dipinda,” tegasnya.

Tambahnya, G25 akan mendapatkan kerjasama dan penglibatan daripada semua NGO dalam membincangkan perkara tersebut termasuk kemungkinan memohon dana kerajaan untuk memudahkan pergerakan mereka.

Sementara itu, M. Redzuan berkata, jawatankuasa tersebut akan melakukan kajian menyeluruh untuk ‘memperbetulkan’ beberapa perkara di dalam undang-undang syariah yang telah melangkaui sempadan Perlembagaan.

“Ini akan melibatkan masyarakat dan orang ramai, mereka akan mengkaji undang-undang syariah dan sivil untuk melihat di mana bahagian yang pelaksanaan syariah ini melampaui Perlembagaan,” jelasnya. –Utusan

Sumber : mynewsviral

0 Comments