Iskandar Puteri Bandaraya Ke-14

Tahniah buat warga Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) menjadi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) secara rasminya diisytiharkan sebagari bandar raya ke14 di negara Malaysia ini dan kedua di Johor selepas  Majlis Bandaraya Johor Bahru


Majlis Bandaraya Iskandar Puteri

Majlis pengisytiharan disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di tapak bangunan pejabat baharu MBIP di Bandar Medini Iskandar, dekat sini. Baginda kemudian menandatangani plak pengisytiharan MBIP. Turut berangkat, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim serta anakanda yang lain.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, turut menyampaikan Suratcara Pengisytiharan Taraf Bandaraya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled berkata, pengisytiharan itu amat bermakna kepada warga Johor terutama dalam mengembalikan kemasyhuran nama Iskandar Puteri serta menyaksikan kemunculan sebuah lagi bandar raya berkepentingan nasional dan antarabangsa.

Katanya, ia juga membuktikan kepesatan pembangunan di kawasan Iskandar Puteri, selain berupaya melonjakkan transformasi wilayah pembangunan Iskandar Malaysia.

"Iskandar Puteri adalah gelaran lama Pusat Pentadbiran Negeri yang dipindahkan dari Teluk Belanga, Singapura sebelum ditukar kepada Johor Bahru pada 1866.

"Nama ini terhasil dengan menggabungkan nama Temenggung Daeng Ibrahim Iskandar dengan peristiwa beliau mendarat di Tanjung Puteri untuk tujuan mencari penempatan kawasan pentadbiran.

"Malah, pemilihan nama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri diperkenan oleh Tuanku dan sangat bertepatan dengan kedudukannya di pusat pentadbiran baharu Johor iaitu Kota Iskandar.

"Maka, secara asasnya nama Iskandar Puteri melambangkan jiwa baharu dalam era pemodenan Johor hari ini, tanpa kita melenyapkan sejarah bermakna," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Mohamed Khaled berkata, Iskandar Puteri bukan saja akan menjadi bandar raya maju, moden dan terbaik malah simbol ingatan berkekalan rakyat kepada sejarah Johor.

Katanya, Iskandar Puteri akan diuruskan sebagai bandar raya dengan sistem penyampaian setara dengan citra kependudukan dan tuntutan inovasi dalam sistem penyampaian.

MPJBT adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) kedua dinaik taraf kepada bandar raya di Johor selepas MBJB pada 1994.

Yang Dipertua MPJBT, Adib Azhari Daud, dilantik sebagai Datuk Bandar Pertama Iskandar Puteri manakala majlis pelantikan diadakan esok (23 November 2017). - sumber berita harian
------------------------------------------------------------------------------------
INFO
Pentadbiran MBIP
- Meliputi kawasan seluas 40,296 hektar
- Mempunyai 157 penempatan terancang dan 45 penempatan tradisional
- Mempunyai 699,423 penduduk

1 Comments