‘Bin To’ Ketua Melayu Haji Yusof Bin Salleh

CERITA ALLAHYARHAM ‘BIN TO’

‘Bin To’ Ketua Melayu Haji Yusof Bin Salleh. Siapalah pulak dia ni? Hari ni dekat group facebook Dubak Tabu Habat (group untuk warga Batu Pahat) heboh dok cerita pasal Bin To ni. Mimin pun tak kenal. Wujud lagi ke dia ni? Tapi bila scroll scroll ke bawah ada nampak laa orang post pasal Bin To ni. Katanya gengster tau dia dulu-dulu ni. hehe, Jom ketahui cerita Bin To ni,


Selalunya jika ada masalah antara kumpulan-kumpulan gangster di Singapura, seorang lelaki dari Johor dijemput ke pulau itu untuk menyelesaikan masalah berkenaan. la berlaku sekitar 60-an, lelaki itu dikenali dengan gelaran Bin To dan sering dipanggil terutama bila ia membabitkan gangster Melayu. Kumpulan-kumpulan gangster secara rasmi telah menerima Bin To sebagai Pengarah atau Ketua Kepala Gangster. Kumpulan yang ternama di Singapura dikenali Kumpulan 206. Ketika itu, sebut sahaja nama “Bin To”, kecut perut musuh-musuh tertentu dan tidak dapat dinafikan kehadiran Bin To sering membawa kepada pergaduhan.


Bin To atau nama sebenarnya Haji Yusof bin Salleh telah ditemui di kediaman Batu 13, Jalan Kluang, Parit Raja, Batu Pahat, Johor Darul Takzim baru-baru ini. “Masa itu semua orang takut dengan Bin To. Dengar nama aje sudah takut, kecut perut dan mengigil. Ada masalah Melayu di Singapura, saya akan dipanggil kerana saya ketua gengster Melayu Singapura dan nama Bin To itu membawa erti muka pisau dalam bahasa Tionghua,” beritahu Haji Yusof.  Beliau akui era zaman muda berjalan seperti mengikut resmi darah muda. Sebagai ketua, cara penyelesaian dilakukan mengikut cara gangster, jika tidak boleh selesai di meja bulat maka Bin To dijemput ke Singapura.

“Kalau hendak dikirakan banyak mana penglibatan saya dalam pergaduhan... sudah tidak terkira. Tahun 60-an di Tanjung Pagan telah berlaku kekacauan kawasan. Kekacauan untuk memperolehi kuasa. Mana kawasan yang saya jaga turut dikacau, kita pun kasi betul. Hingga saya ditahan oleh pihak berkuasa di Pulau Senang,” cerita Haji Yusof mengingati zaman muda beliau. Haji Yusof ditahan di Pulau Senang atas tuduhan pembabitan sebagai ketua gangster dalam kumpulan haram. “Betullah saya ketua gengster. Saya pun tidak perlu mengakui kerana mereka (pihak berkuasa) tahu sesudah dapat pengesahan dari anak-anak buah yang ditahan dan dipukul dalam siasatan.

“Saya berada di Pulau Senang selama lebih tiga tahun,” beritahu Haji Yusof yang sering mengukir senyum ketika bercerita. Sungguhpun begitu, ketika berada dalam tahanan di Pulau Senang, telah berlaku satu rusuhan yang besar kerana perebutan ketua-ketua kumpulan.

“Ketika itu hari Jumaat, saya dan banduan-banduan Melayu mengerjakan solat Jumaat. Rusuhan berlaku hingga terjadi bunuh-membunuh hingga membabitkan pegawai warden bernama Dathan yang baru peluk agama Islam. Beliau dibunuh dan matanya dikorek. Jadi kejadian itu tidak membabitkan orang Melayu. Namun 18 orang kanan saya didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati,” sambung Haji Yusof. Sesudah menjalani hukuman, Haji Yusof dilepaskan dengan bersyarat iaitu berada dalam rumah bermula jam 6 petang hingga 6 pagi. Ia hukuman ‘buang daerah’ di Tanjung Pagar. Ketika menjalani hukuman itu, Haji Yusof banyak berfikir mengenai nasib hidup dan masa depannya. Beliau tidak lagi terlibat dengan mana-mana aktiviti haram. Apabila hukuman buang daerah tamat, keputusan perjalanan hidup adalah pulang ke Batu Pahat dan kembali aktif mengajar silat. Kepulangan Haji Yusof yang dikenali dengan panggilan Bin To bagai ‘satu majlis keramaian’ apabila orang ramai berhimpun di rumahnya. Baik anggota polis dan umum.

“Apabila mengetahui ramai menunggu... baik polis dan orang ramai, saya ambil keputusan tidak ke rumah, sebaliknya ke masjid,” beritahu Haji Yusof yang akui telah berlaku kesedaran pada dirinya. “Seperti sekarang... sentiasa ulang-alik ke masjid dan tengok-tengok keluarga agar jangan di ganggu. “Saya terima semua orang yang hendak bertemu termasuk anggota polis yang ingin menuntut atau meminta bantuan peribadi termasuk rawatan traditional.

Haji Yusof Lahir di Jalan Umar, Batu Pahat pada 1 September 1927. Beliau berada di nombor tiga dalam empat adik-beradik. Yang sulong bernama Hitam, kedua pula Habibah manakala bongsu, Eshah. Ayah Haji Yusof, Salleh bin Awang mencari rezeki dengan berladang. Berasal dari Batu Pahat dan berkahwin dengan Saadiah binti Abdullah. Menurut Haji Yusof, keturunan sebelah ayah dari Arab manakala ibunya campur Arab dan Melayu Riau. “Sememangnya baka saya keturunan pahlawan. Malah menentang komunis yang dikepalai oleh Chin Peng. Sama-sama dengan Panglima Salleh mengempur komunis supaya tidak bermaharajalela,” beritahu Haji Yusof.

Haji Yusof mula menuntut silat ketika usia sekitar 20-an. Guru itu dikenali dengan panggilan Harun dan berasal dari Pulau Buru, Maluku, Indonesia. Ilmu persilatan yang dibawa bernama Buah Pukul Mersing dan Cakar Anak Harimau. Kebiasaan pembelajaran beberapa bulan untuk satu-satu aliran silat namun Haji Yusof menuntut selama tiga tahun. “Ketika itu Guru Harun berusia 50-an. Bersikap sederhana namun berpegang prinsip tidak boleh disentuh dan tidak boleh tersentuh. Ertinya, tidak boleh menyerang dan tidak boleh kena serang. Itu juga sikap keturunan kami. Apabila kita diserang… maka jadilah engkau kunfayakun...,” kata Haji Yusof senyum dan penyampaian itu diharap kepada anak-anak muda temui guru tua dan menuntut supaya jawapan itu menjadi jelas.

Sesudah belajar, Haji Yusof membuka gelanggang di depan Masjid Jamek Batu Pahat. “Selepas solat Isyak, kami turun ke laman untuk berlatih. Mula-mula tidak ramai. Tetapi, makin hari makin ramai,” beritahu Haji Yusof tanpa menafikan dua permainan yang dibawa itu menjadi tarikan. “Beza dua permainan ini hanya pada bunga dan gaya kerana ada geraknya tersendiri. Buah Pukul Mersing mempunyai falsafah iaitu tidak boleh memukul dan tidak boleh kena pukul. Cakar Anak Harimau pula tidak boleh menyerang dan tidak boleh kena serang,” beritahu Haji Yusof lagi. Beliau seterusnya berkata, yang menuntut perlu melalui beberapa proses latihan tetapi perlu ada niat belajar untuk mempertahankan diri. Asal permainan dianggap sama dengan tempat kedatangan Guru Harun iaitu Pulau Buru. Yang belajar silat tidak dikenakan syarat membayar yuran kerana menyedari kemampuan penduduk ketika itu. Sehubungan itu, disyarat mengerjakan solat lima waktu diminta.

“Belajar dengan saya tiada pembayaran. Namun rezeki sentiasa ada. Saya pula tidak pernah meminta dan tidak pernah bekerja. Bila menemui anak buah, mereka beri saguhati dan saya senang bersikap memecahkan wang kertas kepada siling untuk diberikan kepada budak-budak berhampiran,” kata Haji Yusof. Beliau seterusnya akui dalam persilatan, ada murid dapat dan ada tidak dapat ilmu guru. “Ini perkara semula jadi... kerana ada yang belajar sebagaimana rajin dan hebat tetapi tidak dapat menguasai permainan itu, apabila gagal mengawal perasaan. Sebab main buah pukul bukan mudah hendak kawal diri. Kena didik seperti amal ayat Bismillah 1000 kali setiap selepas solat hingga mati,” dedah Haji Yusof. Haji Yusof mempunyai dua anak - Ishak dan Nong dari hasil perkahwinan dengan Hapipah binti Ahmad (Allahyarhamah).

Wallahua'lam
* Beliau telahpon meninggal dunia.. sama-sama kita hadiahkan Al Fatihah untuknya.
* Ujian atas hidupnya, terpaksa menggunakan kepandaian beladiri untuk memimpin kumpulan2 gangster.

0 Comments