SALAM TAKZIAH ATAS PEMERGIAN TOK GURU NIK AZIZ



 
LIVE DARI  PULAU MELAKA, KOTA BAHARU

KELAHIRAN
Anak kedua dari perkahwinan Tok Guru Haji Nik Mat Alim (Tuan Guru Haji Nik Mat) dengan isteri pertama ini dilahirkan pada tahun 1931 dan diberi nama Nik Abdul Aziz. Anak kelahiran Kampung Pulau Melaka ini membesar dalam suasana keluarga dan rumahtangga yang sederhana dan mengecapi zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak lain. Angkatan sepermainannya mengakui bahawa beliau seorang yang lemah-lembut, mudah bertolak ansur dan begitu disayangi oleh rakan-rakannya. 
PENDIDIKKAN ASAS
Negeri Kelantan terkenal dengan keprihatinan warganegerinya yang mementingkan didikan Islam bagi setiap anak-anaknya. Hal ini agak ketara berbeza dengan warganegeri lain. Ini adalah disebabkan latarbelakang sejarahnya yang menyaksikan banyak tumbuh pusat-pusat pengajian pondok terutamanya. Sebagaimana anak-anak lain yang diberi didikan agama sejak awal oleh ibubapa masing-masing, maka Nik Abdul Aziz juga tidak terkecuali. Bahkan kedudukan beliau agak istimewa kerana pendidik awalnya ialah ayahnya sendiri yang sangat mengutamakan asuhan dan didikan agama bagi anak-anaknya. 

Jadual wajib setiap malam mereka adik beradik ialah mengaji Al-Quran. Dalam masa yang tidak lama, beliau didapati memiliki tahap kecerdasan yang tinggi dalam menangkap dan memahami setiap pelajaran. Hingga dapat menandingi teman-teman sepengajiannya bahkan dari kalangan yang lebih tua usianya. Kemudian diberi kepercayaan untuk mengantikan tempat ayahnya mengajar kanak-kanak lain membaca ayat-ayat lazim (Muqaddam).

SEKOLAH RASMI 
Pada umur enam tahun, beliau dihantar untuk berlajar di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat untuk mempelajari asas membaca dan menulis. Pulang dari sekolah, kanak-kanak ini tidak begitu terpaut hati untuk banyak bermain-main dengan rakan-rakannya. Sebaliknya beliau lebih gemar mengisi masa petangnya untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat sebarang kerjarumah yang ditugaskan oleh guru. Sesekali beliau turun ke tanah untuk bermain layang-layang dan gasing yang menjadi sebahagian hobi zaman kanak-kanaknya.

Di sekolah ini, beliau adalah pelajar pertama yang memakai seluar panjang kerana Tuan Guru Haji Nik Mat Alim sangat tidak suka melihat kanak-kanak lelaki berseluar pendek. Walau bagaimana pun, persekolahan di Sekolah Kebangsaan itu tidak lama kerana setelah beberapa bulan, beliau berhenti atas kesedaran ayahnya yang menyedari kecenderungan anaknya itu dalam pengajian Islam.


Mengaji di Pondok Tok Kenali

Lalu beliau dihantar menuntut ilmu di Kubang Kerian berguru pada Tok Kenali. Di pusat pengajian pondok ini, beliau menunjukkan minat yang begitu mendalam sehingga cepat menghafal beberapa kitab-kitab matan dan membaca kitab-kitab berbahasa Arab.

Menjelang usia remaja, Nik Abdul Aziz di hantar pula ke Besut, untuk belajar di Pondok Tuan Guru Haji Abbas. Di sini beliau sudah mula menguasai beberapa ilmu untuk amalan seharian. Bila sekali-sekala pulang ke kampungnya, beliau kadang-kadang mengantikan ayahnya menjadi iman dalam sembahyang dan mengajar Al-Quran.



MULA MENUNTUT DI SEBERANG LAUT


Sekitar tahun 1952, beliau belayar ke India untuk menyambung pengajian di Universiti Deoband. Selama lima tahun di sana, beliau sempat berguru dengan seorang ulama hadith dan tarekat iaitu Maulana Husain Ahmad al-Madani.

Kemudian pada tahun 1957, beliau menyeberang sempadan masuk ke Pakistan belajar di Lahore melanjutkan pengajian dalam bidang Tafsir Al-Quran.

BERLAYAR LEBOH JAUH

Kecenderungan yang begitu mendalam dalam menuntut ilmu agama, telah membawa beliau belajar lebih jauh. Kali ini belayar lagi dan kemudian turun untuk menjejakkan kaki di bumi Mesir. Di Universiti Al-Azhar anak muda yang berusia sekitar 30 tahun ini mengambil jurusan Bahasa Arab lantaran minatnya yang begitu mendalam. Di sini beliau meningkatkan penguasaannya dalam ilmu-ilmu Bahasa Arab seperti balaghah, syair dan segala bentuk puisi Arab. Hingga akhirnya pemuda ini memperolehi Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab.

Setelah itu Nik Abdul Aziz meneruskan pengajian dalam bidang Perundangan Islam (Syari'ah). Jurusan ini ternyata lebih mencabar. Beliau lebih banyak duduk bertekun membaca dan mutala'ah al-Umm (Imam as-Syafi'ie), Fath ul-Baari (Ibn Hajar al-Haitami), al-Iqna' dan beberapa kitab-kitab yang berjilid-jilid. Berkat ketekunan dan kesungguhan, beliau lulus dan mendapat Ijazah Sarjana Perundangan Islam di universiti tertua di dunia ini.

BERLAYAR PULANG

Setelah lulus dalam jurusan Syari'ah, beliau bercita-cita pula untuk mendapatkan Diploma, tetapi hasrat itu terbantut apabila pulang dalam keadaan agak tergesa-gesa bersama Ustaz Yusof Bakar (bekas pensyarah Kolej Islam Kelang) pada awal 1962.

Hampir duabelas tahun di rantau orang, bukanlah satu tempoh masa yang singkat. Berangkat ke luar negara ketika tanahair masih dalam jajahan British. Kini tanahair yang 'merdeka'nya masih kanak-kanak menyambutnya dalam suasana yang bagitu jauh berbeza. Sanak saudara yang menyambut tidak segera mengenalinya. Lebih-lebih lagi penampilannya yang jauh berbeza berbanding sewaktu berangkat sebelas tahun lalu. Anak muda berpakaian kemas dengan mengenakan talileher serta kasut yang berkilat itu akhirnya dicam orang apabila mereka terpandang kepada nama yang tertera pada beg yang dibawanya Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau mendapati negara ini sudah jauh berbeza terutama suasana di bandar. Tetapi apabila sampai di kampung halaman, keadaan yang agak mundur membuatnya berasa kekok buat beberapa ketika. Suasana Kampung Pulau Melaka jauh berbeza berbanding bandaraya Kaherah yang lebih moden.

MULA BERTUGAS

Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardhiyyah, Panchor merupakan institusi pendidikan terawal yang menerima khidmat bakti tokoh pendidik muda ini. Beliau turun awal pagi dari rumahnya di Kg Pulau Melaka menuju ke Panchor dengan berbasikal lumba (hadiah daripada Al-Marhum Tuan Haji Nik Abdullah bin Arsyad - lebih dikenali dengan panggilan Pak Nik Lah).Pada tahun ini juga (1962) Tuan Guru Haji Nik Mat Alim mengasaskan Sekolah Agama Darul Anwar di Kampung Pulau Melaka. Oleh kerana itu khidmat Haji Nik Abdul Aziz di Panchor tidak lama kerana berpindah mengajar di sekolah yang baru diasaskan oleh ayahnya itu. Selain menjadi tenaga pengajar di SADA, beliau juga diberi kepercayaan memegang jawatan Bendahari dalam organisasinya di samping ayahnya sendiri selaku Pengerusi.

Mengakhiri Zaman Bujang


Pada usia 31 tahun, beliau melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis berusia 14 tahun pilihan kedua orang tuanya. Gadis itu ialah Tuan Sabariah bte Tuan Ishak yang dilahirkan pada tahun 1948, anak keempat dari enam adik beradik. Isterinya ini adalah anak jati Kampung Panchor, Kemumin.

Pendidikan Tuan Sabariah bte Tuan Ishak

Mendapat pendidikan secara rasmi di salah sebuah sekolah kendalian Majlis Agama Islam Kelantan. Apabila tamat darjah enam, beliau menyambung pengajian ke Sekolah Menengah Na'im lil Banat (Sek. Menengah Perempuan Na'im). Walaupun beliau bercita-cita untuk menyambung ke peringkat yang lebih tinggi, namun hasratnya itu terpaksa dipendamkan apabila beliau dijodohkan oleh ayahnya dengan Haji Nik Abdul Aziz (yang ketika itu sedang mengajar di SMATM Panchor).

Sebagai Penyelia KEMAS


Wargatua dari rakyat negara ini ketika itu kebanyakannya terdiri dari kalangan mereka yang buta huruf. Kenyataan ini memberi kesan yang mendalam dalam diri Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pada pendapatnya, tahap kesedaran berilmu dan beramal dengan baik dan betul adalah sukar untuk dicapai selagi masalah buta huruf ini tidak diatasi. Lalu beliau menerima tawaran untuk lantikan sebagai Penyelia bagi Kelas Dewasa (kini dikenali sebagai kelas KEMAS). Namun begitu, penglibatan beliau dalam KEMAS tidak lama kerana beberapa perkara yang menjadi syarat persetujuanya untuk menerima jawatan itu telah tergugat.

Iaitu beliau perlu diberikan kebebasan untuk menyampaikan haq tanpa sebarang sekatan atau penentangan sekalipun bakal menyentuh mana-mana pihak samada di pihak KEMAS atau sesiapa sahaja. Kedua iaitu prinsip beliau menyampaikan sesuatu pengajaran agama adalah secara jelas menepati kandungan al-Quran dan al-Hadith, ijma' dan qias sebagaimana yang dipelajarinya.

Pada bulan-bulan terawal, banyak kritikan dan tegurannya masih boleh diterima oleh lapisan pelajar termasuk pengelola kelas itu sendiri. Tetapi akhirnya kegiatannya menimbulkan suasana politis yang agak gawat dan kontroversi hingga beliau disekat dengan bermacam-macam halangan. Semuanya adalah kerana teguran dan kritikan itu telah tersentuh ke atas batang hidung pihak yang tidak senang dengan usahanya untuk menyuburkan semangat keIslaman di kalangan lapisan pelajar kelas dewasa itu. Akhirnya, dua tahun kemudian, Haji Nik Abdul Aziz meletak jawatan.

Bertugas di Maahad Muhammadi


Sebaik sahaja melepaskan jawatan di KEMAS, beliau langsung mendapat peluang mengajar di SMA Maahad Muhammadi Lil Banin (Lelaki) pada tahun 1964.

Sebagai Ahli Politik


Tiga tahun kemudian, apabila berlaku kekosongan kerusi Parlimen Kelantan Hilir (kini Pangkalan Chepa) berikutan kematian Tuan Haji Ahmad Abdullah (Haji Ahmad Perai), Haji Nik Abdul Aziz telah dicalonkan oleh PAS Kelantan untuk mempertahankan kerusi tersebut. Dengan izin Allah dan di atas ketokohan, kewibawaan yang jelas pada dirinya, PAS mengekalkan kerusi Parlimen tersebut.

Maka sejak itu kehidupan Haji Nik Abdul Aziz mula berubah. Tiba-tiba beliau menjadi begitu sibuk dengan tugas barunya sebagai Ahli Parlimen. Beliau sentiasa berulang alik dari rumahnya ke Kuala Lumpur. Tidak seperti wakil rakyat atau ahli parlimen lain yang lebih suka menetap di Kuala Lumpur, meninggalkan kawasan yang diwakili, meninggalkan rakyat yang telah mengundi mereka. Sebaliknya YB Haji Nik Abdul Aziz sanggup berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Beliau masih meneruskan kewajibannya mengajar di Masjid Pulau Melaka dengan penuh komitmen.

Beliau sering balik lewat malam kerana memenuhi jemputan untuk berceramah di merata pelusuk tanahair. Masa untuk bersama keluarga menjadi begitu singkat. Ketika itulah Datin Tuan Sabariah memainkan peranan yang lebih besar dalam mengurus rumahtangga dan mengasuh anak-anak.

YB Haji Nik Abdul Aziz tetap akan pulang ke rumah walau bagaimana sibuk sekalipun. Waktu yang begitu terbatas bersama keluarga digunakan dengan sebaik mungkin untuk melayani anak-anak dan menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit.

Pilihanraya Umum 1969


Masa berlalu begitu pantas. Seluruh negara disibukkan pula oleh suasana menghadapi pilihanraya umum. YB Haji Nik Abdul Aziz dicalonkan sekali lagi untuk mempertahankan kerusi parlimen Kelantan Hilir. Dalam satu peristiwa, YB Haji Nik Abdul Aziz pernah diserang dengan lontaran batu oleh kumpulan Pemuda Tahan Lasak UMNO sewaktu beliau pulang dari satu majlis ceramah di Pasir Putih. Undi besar yang diperolehi oleh beliau telah mengekalkan kerusi Kelantan Hilir di tangan PAS.

Pilihanraya Umum 1969


Masa berlalu begitu pantas. Seluruh negara disibukkan pula oleh suasana menghadapi pilihanraya umum. YB Haji Nik Abdul Aziz dicalonkan sekali lagi untuk mempertahankan kerusi parlimen Kelantan Hilir. Dalam satu peristiwa, YB Haji Nik Abdul Aziz pernah diserang dengan lontaran batu oleh kumpulan Pemuda Tahan Lasak UMNO sewaktu beliau pulang dari satu majlis ceramah di Pasir Putih. Undi besar yang diperolehi oleh beliau telah mengekalkan kerusi Kelantan Hilir di tangan PAS.

Beberapa hari kemudian tercetus peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. YB Haji Nik Abdul Aziz menyatakan;
Takdir Allah,.. Allah tidak mahu melihat PAS ini terus menerus hidup dalam keadaan budak atau keanak-anakan, maka Allah mendatangkan peristiwa 13 Mei yang melahirkan akta-akta sensitif, yang melarang manusia menyebut perkara-perkara seperti Melayu, China dan melarang manusia menyebut hal-hal yang bersangkutan dengan kerakyatan dan sebagainya. Bermula dari situlah maka orang-orang PAS berusaha untuk mencurahkan kerja-kerja sebagai gerakan parti. PAS bukanlah menyebatkan satu teori, tetapi menjalankan dasar al-Quran dan al-Hadith yang merupakan dasar agama. Kita rasa bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjalankan kegiatan agama, maka kita buat usrah, kita mula menterjemahkan buku-buku yang dikarang oleh pejuang-pejuang Islam seperti menterjemahkan buku Ma'alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) yang ditulis oleh Allahyarham Sayyid Qutb termasuk juga membawa masuk buku-buku karangan Bapak Nasir dari Indonesia yang menterjemahkan ayat-ayat al-Quran yang menyentuh persoalan jihad, politik dan sebagainya.
Maka lahirlah kuliah-kuliah Jumaat dan sessi ceramah untuk mengisi kekosongan waktu yang ada. Maka berkembanglah PAS yang bukan lagi dalam bentuk PAS budak-budak, tetapi PAS yang telah remaja....

petikan dari

Kemucut Dalam Perjuangan Islam

karangan

YB Haji Nik Abdul Aziz 


Ekoran peristiwa inilah Menteri Besar Kelantan Dato' Mohd Asri yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan telah mengistiharkan percantuman kerajaan negeri dengan kerajaan pusat membentuk kerajaan campuran dengan PArti Perikatan atas dasar memelihara kepimpinan dan ketuanan Melayu di negara ini. Dan tindakan ini juga kemudiannya telah membawa kepada penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional pada 1974.

Prinsip Tetap Tidak Berubah


Tindakan PAS menyertai BN tidak bermakna dasar dan prinsip perjuangan telah dikesampingkan. YB Abu Bakar Hamzah (ahl parlimen PAS) semasa memberi jawaban bertulis dalam soaljawab di parlimen menegaskan:
"Samada kerajaan sedar atau tidak bahawa PAS satu parti politik yang menjadi anggota Barisan Nasional telah membuat dan mengeluarkan fatwa bahawa tindakan parti ini memasuki Barisan Nasional sesungguhnya ditegah atau haram. Perbuatan ini adalah haram dari segi syari'at Islam, tetapi PAS terpaksa memasukinya buat sementara waktu..."



Isu ini telah menjadi polemik yang hangat di kalangan ahli-ahli PAS. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah memainkan peranan yang besar dalam mententeram dan memberi penerangan kepada ahli dan penyokong PAS khususnya di peringkat negeri Kelantan. Penjelasan beliau yang berdasarkan hujjah dan dalil al-Quran dan Hadith serta sirah perjuangan Rasulullah saw diterima dengan baik dan suasana kembali reda dan tenang sekurang-kurang untuk beberapa ketika.

Mageran
Namun suasana tenang tidak kekal lama. Kini timbul pula krisis kepimpinan yang terpaksa dihadapi dengan bijaksana oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Menteri Besar Kelantan Dato' Mohd Asri disifatkan oleh sebahagian ahli sebagai bertindak keterlaluan dalam menyeret PAS bergabung dalam BN. Sehingga membawa kepada tertubuhnya Berjasa oleh Dato Muhammad Nasir sebagai protes terhadap Dato Mohd Asri.
Suasana krisis ini dieksploitasi dan diambil kesempatan oleh pihak BN dengan sebaik mungkin. Untuk cubaan pertama mereka mengatur dan merancang satu usul undi tidak percaya sebagai memercikkan bunga api untuk perancangan seterusnya. Usul ini telah dibawa oleh Dato' Ishak Lotfi tetapi tidak terlaksana. Namun bunga api itu telah menyambar daun-daun dan ranting-ranting kering lain. Demonstrasi demi demonstrasi terancang berlaku satu demi satu.
Manakala di pihak Kuala Lumpur pula, mereka telah bersiap sedia untuk meluluskan Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Dharurat (Kelantan) 1977 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato Hussien Onn. Dan hari yang malang bagi rakyat Kelantan itu pun tiba bila rang undang-undang itu diluluskan dan perintah berkurung telah dikenakan ke atas negeri Kelantan dan kerajaan PAS Kelantan yang dipimpin oleh Dato Muhammad Nasir itu pun kehilangan kuasa.

Bertenang

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menghadapi suasana yang gawat dan kritikal ini dengan tenang. Untuk seketika beliau mengambil sikap berkecuali. Tidak berpihak kepada blok Dato' Mohd Asri dan tidak juga di pihak Dato' Muhammad Nasir. Namun, beliau tetap menjalankan peranan sebagai ulama yang terus prihatin kepada anggota masyarakat. Bukan satu kerja mudah untuk mententeramkan anggoat masyarakat khususnya ahli-ahli PAS. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pernah mensifatkan apa yang berlaku hanya umpama 'ribut dalam cawan' yang kocakannya lambat laun akan reda.
Sebenarnya, suasana ini telah menimbulkan kesedaran kepada ahli PAS bahawa PAS memerlukan satu anjakan paradigma baru yang mempunyai momentum lebih kuat untuk berdepan dengan gerakan kebatilan. Ahli-ahli PAS Kelantan menyedari bahawa mereka sebenarnya memerlukan seorang pewaris Nabi untuk memimpin mereka. Tidak ada tokoh lain yang dilihat berlayakan untuk memimpin mereka selain Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Lalu beliau pun dipilih sebagai Pesuruhjaya Negeri Kelantan.
Semenjak Kelantan terlepas dari tangan PAS secara 'paksaan' itu, diikuti pula kekalahan yang dialami (pilihanraya umum 1978) PAS hanya memenangi 2 kerusi parlimen. Kemudian Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz selaku Pesuruhjaya mengatur gerakkerja untuk menghadapi pilihanraya peringkat DUN. Persaingan yang dihadapi lebih sengit kerana berdepan dengan BN dan Berjasa. Keputusannya muktamad, Kelantan terus terlepas kepada BN yang memenangi 23 kerusi DUN, manakala Berjasa 11 sedang PAS hanya mendapat 2 kerusi sahaja.


اِنّا لِلّهِ وَاِنّا اِلَيْهِ رَجِعُوْنَ.
الفاتحة
بِسْــــــــمِ اٌللَّهِ اٌلرَّحْمَنِ اٌلرَّحِيْـــــــــمِِ
◄.اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِينَ ۞ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ۞ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ۞ إيَّاكَ نَعْبُدُ وإيَّاكَ نَسْتَعِينُ ۞ اِهْدِنَا الصِّراطَ الْمُسْتَقِيمَ ۞ صِرَاطَ الَّذِينَ أنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّيِنَ.. آمِّيْنَ
Kehilangan seorang Ulama Almarhum Tok Guru Nik Aziz
Marilah kita mendoakan Tok Guru,
إنا لله وإنا إليه راجعون
اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نزله ووسع مدخله وأغسله بالماء والثلج والبرد ونقه من الخطايا كما نقيت الثوب الأبيض من الدنس وأبدله دارا خيرا من داره وأهلا خيرا من أهله وزوجا خيرا من زوجه وأدخله الجنه واعذه من عذاب القبر وعذاب النار
Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, ampunilah kesalahannya, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburannya, cucilah kesalahannya dengan air, es dan embun sebagaimana mencuci pakaian putih dari kotoran, gantilah rumahnya dengan rumah yang lebih baik, gantilah keluarganya dengan keluarga yang lebih baik, gantilah istrinya dengan isri yang lebih baik, hindarkanlah dari fitnah kubur dan siksa neraka

2 Comments